Saturday 2 May 2015

Trip Bajet Penang (Bahagian 2)

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kepada semua yang mengikuti episod Trip Bajet Penang, saya mengucapkan terima kasih kerana sudi meluangkan masa anda untuk membaca coretan trip saya.

Kepada sesiapa yang baru mengikuti blog saya boleh klik (sini) untuk mengetahui isi kandungannya dengan lebih lanjut.

Baik, fokus utama trip Penang kita adalah bajet dan aktiviti. Jadi saya mengungkap kembali bajet yang telah diperbelanjakan pada hari pertama:

Total hari pertama=RM58+RM48=RM106

 6 Feb 2015
9.15pg-Aktiviti untuk hari kedua bermula sedikit lambat daripada perancangan asal. Ini kerana, kami agak keletihan dengan aktiviti semalam. Namun, ia tidak menjejaskan keterujaan kami untuk mengembara ke destinasi pertama kami hari ini, Bandar George Town. Bandar Tapak Warisan UNESCO ini kaya dengan bangunan yang mempunyai ciri binaan abab ke-19. Sudah tentu perut perlu diisi terlebih dahulu. Jadi, apa yang istimewa untuk pagi ini? Yum,yum!!

Roti Daging
Roti Ayam
Di mana? Roti canai bersama kari daging atau ayam ini boleh didapati di Lebuh Travel. Makanan ini dijual di satu gerai yang terletak di tepi jalan Lebuh Travel. Roti canai kosong bersama kari yang cukup sedap dan pekat bersama daging atau ayam cukup menyelerakan. Dengan harga RM5 untuk satu hidangan memang cukup berbaloi. Berat perut kami dibuatnya hanya dengan RM6 termasuk teh tarik. Di sini juga terdapat gerai yang menjual roti bakar (aka Roti Bakaq teluq leleh).

Petua untuk mencari kedai ini: Cari Lebu Travel dan gerai yang ada ramai orang. Jangan malu untuk bertanya kerana gerai roti tidak ada papan tanda.

Batas perut kami menghalang kami daripada mencuba roti bakar tersebut. Jadi, setelah menikmati sarapan pagi, kami mula pengembaraan ini dengan berjalan menuju ke Masjid Kapitan Keling. Masjid ini merupakan masjid tertua yang terdapat di Pulau Pinang. Masjid Kapitan Keling sebagai permulaan, kami memulakan pemburuan seni jalanan (street art) Pulau Pinang.
Muzium Kamera
Replika Kamera di Muzium Kamera
Seni Jalanan Pertama Kami
Salah Satu Lorong di Pulau Pinang
Seni Jalanan Kedua
Kepada sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih mengenai Muzium Kamera, anda boleh masuk ke tingkat dua dengan bayaran masuk sebanyak RM10. Tiada bayaran dikenakan jika anda melawat tingkat 1 Muzium Kamera.

Anda juga boleh pusing bandar George Town dengan menyewa basikal dengan kadar bayaran RM10-RM15 atau sewa motorsikal dengan kadar sewa RM30-RM35 bagi tempoh satu hari. Anda tidak digalakkan untuk bersiar-siar di George Town dengan menggunakan kereta terutama kepada sesiapa yang tidak biasa dengan jalan di bandar ini. Percayalah! Agak sukar untuk mencari parkir kereta. Jalannya yang sempit dan mengelirukan menyukarkan aktiviti bersiar terutamanya kepada pemandu luar.

Jadi pagi ini, hanya dua seni jalanan yang sempat ditemui kerana waktu Zuhur semakin menghampiri. Kami, selaku lelaki muslim wajib menunaikan solat Jumaat pada hari ini. Agak kurang bernasib baik kerana kami tidak dapat menunaikan kefarduan ini di Masjid Kapitan Keling pada masa itu di atas sebab-sebab yang tertentu. Jadi, kami sepakat untuk ke Universiti Sains Malaysia (USM) untuk solat Jumaat. Selesai solat, kami makan tengah hari di USM di Restoran Zubaidah dengan jumlah RM5.50 untuk nasi campur bersama teh ais.

4.15ptg-Kemudian, pemburuan seni jalanan diteruskan lagi sebelum kami menaiki feri untuk ke tanah besar. Sudah tentu bilangan pelancong seperti kami semakin bertambah. Jadi bagi sesetengah seni, kami terpaksa menunggu giliran untuk mengambil gambar. Ya, pemburuan ini memang cukup mengujakan dan tidak terhad kepada kami sahaja.
'Buaian'
'Penjaja Pau'
'Kucing Bertuah'
'Tikus dan Kucing'
'Berbasikal'
'Rider'
'Bruce Lee'
'Bola Keranjang'
'Kucing-kucing'
6.00ptg-Setelah selesai memburu seni jalanan yang saling berhampiran, kami menuju ke jeti Portwell. Dari jeti, kami menaiki feri untuk ke tanah besar. Dalam masa beberapa minit di tanah besar, kami berpatah balik ke Pulau Pinang dengan trip feri yang sama. Pemandangan petang dari feri memang indah. Senja telah menjelma dan kami membuat keputusan untuk pulang ke tempat penginapan kami untuk persiapan malam ini.

8.00mlm-Kami bertuah kerana malam ini kami ditemani oleh gadis-gadis jelita dari USM. Terima kasih diucapkan kerana sudi melayan kerenah kami selaku tetamu. (Kredit kepada: Huan, Yena, Aini) Mereka merupakan kenalan kami bertiga. Jadi, malam ini, kami hanya mengikuti perancangan 'tuan rumah'. Jadi dua buah kereta bergerak menuju ke Gurney Drive. Untuk apa? Ya, disini terdapat satu makanan yang popular di Pulau Pinang iaitu pasembur ('pasimbuq' kepada warga tempatan). Apa itu pasembur? Ia merupakan rojak bersama kuah kacang dan pasembur yang terkenal di sini adalah 'Pasembur Menari'. Namun, agak sukar untuk mencari parkir kereta kerana ramai orang datang ke sini dengan tujuan yang sama dengan kami. Bagi mengelakkan kesukaran, kami meletakkan kereta kami di Plaza Gurney dengan bayaran RM8 untuk 3 jam.

 

Memang satu tempat yang harus dikunjungi oleh peminat-peminat pasembur. Anda hanya perlu memilih hidangan yang anda inginkan ke dalam pinggan dan kemudian serahkan kepada 'pak cik' untuk dipotong kecil bersama kuah kacang. Harga hidangan bergantung kepada pilihan dan biasanya dalam lingkungan RM10-RM50. Hidangan kami bagi 3 orang bersama  3 orang siswi USM hanya RM60. Untuk minuman, terdapat banyak gerai yang menyediakan aneka minuman seperti cendol, lai chi kang dan ABC. Setelah itu, kami lepak di pantai berhadapan Plaza Gurney sambil bertukar-tukar cerita.


Jadi, setelah selesai aktiviti untuk hari ini, kami pulang ke bilik penginapan kami. Hari kedua yang agak santai dan menyeronokkan.

Jadi perbelanjaan kami bagi hari kedua:
RM4 - Parkir di Bandar Georgetown
RM8 - Parkir di Plaza Gurney
RM60 - Pasembur
=>RM72/3=RM24

Perbelanjaan peribadi:
RM6 - Sarapan pagi, roti daging dan teh tarik
RM5.50 - Makan tengah hari, nasi campur dan teh ais
RM2 - Bayaran menaiki feri
RM2 - Minuman di Pasembur
=>RM15.50

Total hari kedua=RM39.50
Hari pertama+Hari kedua=RM106+RM39.50=RM145.50

Nantikan kemas kini selanjutnya untuk hari percutian kami seterusnya di Pulau Pinang dengan aktiviti yang padat namun di dalam bajet yang rendah.