Kali ini, saya ingin berkongsi aktiviti keluar satu hari yang menenangkan serta merehatkan minda walaupun meletihkan fizikal. Menjadi sebahagian daripada alam semulajadi sememangnya mampu memberi perspektif yang berbeza kepada diri. Jadi, saya bersama 4 orang sahabat mengembara dan mandi di Air Terjun Berkelah. Apa itu Air Terjun Berkelah? Apa yang istimewa mengenai air terjun ini?
Terletak di Gambang, Pahang Darul Makmur, Air Terjun Berkelah terletak 30-40 minit perjalanan dari bandar Kuantan dan hanya 10-15 minit dari Exit Tol Gambang bagi Lebuhraya Pantai Timur. Antara tarikan pelancongan yang dekat dengan Air Terjun Berkelah adalah Bukit Gambang Waterpark. Air terjun ini juga mempunyai 7 tingkat air terjun dan memerlukan kekuatan fizikal yang agak lasak bagi sesiapa yang ingin mengunjungi air terjun ini kerana treknya yang sukar dan lasak. Namun, bagi sesiapa yang tidak mempunyai stamina yang tinggi, anda boleh mengunjungi tingkat 1. Air terjun ini merupakan salah satu lokasi riadah popular di kalangan masyarakat setempat mahupun penggemar aktiviti lasak.
Air Terjun Berkelah:
Tahap stamina : 7/10
Keindahan pemandangan : 8/10
Air terjun tertinggi : 50 meter
Waktu perjalanan ke tingkat 7 : 1 jam 1/2 - 2 jam
9 Jun 2015
9.30pg- Bertolak daripada Pekan, Pahang.
10.00pg- Singgah di KFC Taman Tas untuk membeli makanan untuk makan tengah hari. Jangan kata abang tak payung! Haha.
10.30pg- Singgah di Restoran Zaman berhadapan dengan kem TUDM Batu 10 . Restoran ini sememangnya antara restoran yang wajib disinggah bagi sesiapa yang melalui kem ini. Rasa roti canainya memang lembut bersama kuah kari bercampur dhal yang pekat dan sedap! Nasi dagang juga antara tarikan utama kedai ini. Kalau boleh, anda mesti mencuba semua makanan yang disediakan di restoran ini kerana semua sedap. Alamat kedai ini:
Restoran Zaman
Lot 1-3811, KM14 Jalan Gambang, Kuantan, 26070, Kuantan, Pahang
11.00pg- Bertolak dari Restoran Zaman menuju ke Air Terjun Berkelah.
11.30pg- Tiba di Air Terjun Berkelah. Kereta diletakkan di tempat lapang di sebelah Sungai Berkelah.
Tiba di tempat letak kereta Air Terjun Berkelah
Untuk pengetahuan semua, anda tidak boleh menggunakan kereta untuk terus ke Air Terjun Berkelah kerana jambatan Sungai Berkelah untuk ke lokasi telah rosak. Oleh sebab itu, jika anda menggunakan kereta pacuan empat roda, anda boleh menyeberangi sungai dengan kereta. Ini kerana kedalaman Sungai Berkelah yang perlu diseberangi hanya paras betis sehingga lutut. Tambahan maklumat, anda juga perlu melalui jalan tanah merah sejauh 2-3km sebelum tiba di tempat lapang ini. Jadi, anda perlu memandu kereta di tanah merah dengan hanya 20-30km/j kerana kondisi jalan yang tidak rata.
11.40pg- Memulakan perjalanan dengan berjalan kaki. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk tiba di Taman Hutan Simpan Berkelah.
Terasa kesejukan air sungai
Meneruskan perjalanan di atas jalan bertar
Permulaan perjalanan ke Air Terjun Berkelah
Selamat Datang Ke Hutan Lipur Berkelah
11.50pg- Tiba di Taman Hutan Lipur Berkelah. Meneruskan perjalanan ke air terjun tingkat 1.
Trek Bersimen
Permandangan sungai kering
Trek Denai
Pemandangan pondok rehat Tingkat 1
12.00tgh- Tiba di tingkat 1. Air terjun berketinggian lebih kurang 15m mempunyai pemandangan yang tersergam serta angin sejuk air terjun.
Berlatarkan air terjun tingkat 1
Perjalanan diteruskan lagi ke tingkat-tingkat yang seterusnya. Trek jalan berubah kepada geografi yang lebih mencabar dan tidak sekata. Trek juga semakin licin dari perjalanan lebih perlahan serta berhati-hati. Terdapat juga kawasan yang curam dan merbahaya namun dengan risiko dapat dikurangkan dengan memakai alas kaki bersesuaian serta bergerak dalam kumpulan.
Pemandangan pondok rehat tingkat 1 dari atas
Berlatarkan Tingkat 2
Air Terjun Berkelah Tngkat 2
Tingkat 3
Perjalanan diteruskan
Berposing sebentar
Pemandangan tapak kemah dari atas
Berlatarkan tingkat 4
Tingkat 5
Trek berbatu dan pemandangan yang luas
Berlatarkan trek berbatu
Air Terjun Berkelah Tingkat 7
Berlatarkan Air Terjun Berkelah Tingkat 7
1.30ptg- Akhirnya, kami tiba di Air Terjun Berkelah Tingkat 7. Satu ungkapan untuk menggambarkan perasaan kami, "Subhanallah", Maha Suci Engkau yang menciptakan alam ini dengan penuh kenikmatan kepada mata serta agungnya ciptaan-Mu. Air terjun yang berketinggian 50m sememangnya cukup unik dan segala penat lelah terasa berbaloi. Angin yang meniup hasil dari pergerakan air terjun menghilangkan peluh serta memulihkan stamina kami. Tiba masa untuk mandi!
Airnya memang dalam. Kepada sesiapa yang tidak pandai berenang atau 50/50, anda tidak digalakkan sama sekali untuk mandi di sini. Kolamnya luas dan airnya juga sejuk. Satu kepuasan setelah menempuh satu jam setengah perjalanan kaki. Setelah puas mandi, tiba masa untuk makan tengah hari. : D
Di gigi air tingkat 7
"Jangan Kata Abang Tak Payung"-anonymous
Mengisi kembali tenaga
Sekeping gambar sebelum pulang
2.30ptg- Setelah satu jam berada di tingkat 7, tiba masa untuk pulang. Namun, kami merancang untuk singgah di tingkat 5 terlebih dahulu sebelum terus pulang ke kediaman masing-masing. Tingkat 7 memang cantik dan nyaman namun tingkat 5 lebih seronok untuk bermandi-manda. Ini kerana, tingkat 5 merupakan kawasan berpasir dan mempunyai kedalaman yang berkontur. Sesuai untuk sesiapa yang kurang pandai berenang mahupun bersantai-santai.
Masa untuk pulang
Solat Zohor dilakukan di dalam perjalanan di antara tingkat 7 dan tingkat 5. Ini merupakan pengalaman baru kali majoriti kalangan kami kerana biasanya solat dilakukan dalam keadaan selesa. Solat di tengah-tengah alam semulajadi, bersejadahkan batu air terjun dan berwudukan air dingin sememangnya satu pengalaman yang unik dan kebiasaan bagi sesiapa yang mengunjungi air terjun ini sehingga ke tingkat 7.
Persiapkan diri untuk bersolat
Mengambil wuduk
Perjalanan diteruskan
Singgah di tingkat 5
Selesai mandi dan masa untuk pulang
6.00ptg- Kami tiba di tempat letak kereta dan menunaikan solat Asar serta melakukan kemasan diri di masjid berhampiran dengan Air Terjun Berkelah.
Itulah sinopsis trip satu hari di Berkelah. Berkelah merupakan destinasi riadah kepada penggemar aktiviti lasak dan peminat alam sekitar terutamanya kepada pelajar pengajian tinggi di sekitar Kuantan dan Pekan. Saya sendiri sudah beberapa kali ke sana, dan di bawah merupakan antara koleksi gambar trip yang lain.
Ini dia video ringkasan trip satu hari ini. Semoga terhibur: