Akhirnya sudah sampai bahagian terakhir untuk trip bajet Penang kita. Terima kasih kepada anda yang meluangkan masa untuk mengikuti kisah kami. Sebulan lambat daripada kemas kini blog Trip Bajet Penang (Bahagian 2). Saya minta maaf kepada semua pembaca yang mengikuti blog saya kerana saya sibuk dengan hal-hal akademik. Diharap anda terhibur dengan kisah kali ini.
Dan kepada sesiapa yang baru kepada kisah Trip Bajet Penang ini, anda boleh mengikuti bahagian satu dan bahagian dua.
Seperti biasa kita ulang kembali bajet yang telah diperbelanjakan setakat ini:
Total hari pertama=RM58+RM48=RM106
Total hari kedua=RM39.50
Hari pertama+Hari kedua=RM106+RM39.50=RM145.50
7 Feb 2015
11.00pg-Pagi ini memang bermula lewat memandangkan semalam kami pulang ke tempat menginap agak lewat. Oleh kerana sudah hampir tengah hari, kami mulakan hari kami dengan makan tengah hari di Taman Tun Sardon. Niat asal sebenarnya untuk bersarapan namun terpaksa dibatalkan kerana masa yang sudah hampir memasuki tengah hari. RM4.50 dibelanjakan untuk makan tengah hari.
12.00tgh-Pergerakkan ke Taman Botani. Taman Botani terletak berhampiran dengan Bukit Bendera. Untuk maklumat lanjut, anda boleh mengunjungi laman sesawang rasmi Taman Botani Pulau Pinang.
12.30tgh-Kami tiba di Taman Botani. Pada mulanya, kelihatan pemandangan yang agak hambar. Namun, ia tidak seperti yang kami sangkakan, seperti yang ditunjukkan di laman sesawang atau enjin carian. Usaha mencari Taman Botani dan ianya terjawab. Maka, kami tiba di sebuah taman yang cantik dihiasi tamanan yang berbunga dan dijaga rapi.
Air Pancut |
Pintu Gerbang Taman Botani |
Pintu Gerbang Buluh |
Pemandangan mikro |
Pintu Gerbang 2 |
Trek Taman Botani |
Berehat sebentar di Taman Botani |
Pokok Bunga Kertas |
1.30ptg-Kami bertolak dari Taman Botani untuk mengambil kawan kami dari tempat kerja beliau. Kenapa? Sebab beliau merupakan salah seorang perancang utama dalam aktiviti kami petang ini. Aktiviti apa? Berkelah di Pantai Batu Ferringgi. Jadi kami menuju ke Mydin berdekatan, Mydin Kompleks Bukit Jambul untuk beli barang-barang keperluan untuk BBQ. Antara barang yang dibeli:
1)Pembalut aluminium
2)Sos cili
3)Mayonis
4)Ubi keledek
5)Sosej
6)Air berkarbonat
7)Sedikit Serai
8)Lain-lain
Oleh kerana di Mydin tiada ayam yang siap diperap, maka kami terpaksa mengubah rancangan. Kami perlu singgah di Carrefour untuk membeli makanan mentah untuk dipanggang. Jumlah total bagi barang keperluan yang dibeli di Mydin adalah RM50*. Kami menggunakan arang yang dibawa oleh kami sendiri dari Selangor. Jadi untuk BBQ kali ini, arang sebanyak 1 bag atau 1.5kg memadai untuk memanggang makanan bagi 7 orang. Pemanggang juga kami datangkan khas dari Selangor.
2.30ptg-Selesai membeli di Mydin. Jadi kami menuju ke USM untuk mengambil kawan kami yang lain. Sambil menunggu mereka bersiap, kami menunaikan solat di sana. Setelah mereka bersiap, bersama barang-barang keperluan lain untuk berkelah seperti pinggan, cawan, air kosong/air minuman, dan lain-lain, kami bergerak ke Carrefour. Pelbagai aneka makanan mentah yang diperap siap untuk aktiviti seperti BBQ terdapat di Carrefour Tanjung Tokong seperti ayam diperap madu, ayam perap masala pedas, daging perap dan lain-lain. Jadi, kami membeli 2kg ayam perap madu dan 1kg ayam perap pedas. Kami juga membeli kambing perap sebanyak 1kg. Jadi jumlah perbelanjaan untuk makanan mentah:
1)Ayam Perap=RM10/kgX3=RM30
2)Kambing Perap=RM30/kg=RM30
Total=RM60*.
p/s: Jumlah * merupakan jumlah yang digenapkan untuk permudahkan pengiraan
RM50+RM60=RM110/3person=RM35/person*
6.00ptg-Kami tiba di Pantai Batu Feringgi. Suasana agak meriah memandangkan hari ini merupakan hari minggu. Ramai pengunjung luar negara mahupun tempatan berseronok di tepi pantai. Kami memasang kemah di tepi pantai bagi memudahkan urusan menukar pakaian ataupun beristirehat. Setelah persiapan selesai, maka kami menikmati petang kami di Pantai Batu Ferringgi.
Kemah kami |
Bermain di gigi air |
Berjalan-jalan di pantai |
Tukang Panggang bertauliah |
Mandi di Batu Ferringgi |
Pemandangan Pantai |
'We are at the beach' |
Aktiviti Water Parachute di Pantai Batu Ferringgi |
Kepada sesiapa yang minat akan sukan air, di Pantai Batu Ferringgi juga menyediakan perkhidmatan sukan air seperti sewa 'jet ski', 'banana boat', 'doughnut boat', 'water parachute', dan lain-lain. Perkhidmatan yang disediakan agak tinggi kerana kami mengekalkan tema percutian kami, bajet tapi seronok. Namun, kepada sesiapa yang berminat untuk mencuba sesuatu yang baru, water parachute merupakan aktiviti yang saya galakkan.
Setelah penat bermain air, kami menikmati juadah yang disediakan oleh tukang masak kami. Antara makanan yang tersedia, tidak dapat dinafikan bahawa kambing panggang merupakan hidangan terbaik. Daging kambing yang empuk, manis daging jelas terasa serta rempah yang menyerap masuk ke dalam daging antara sebab kambing panggang terletak nombor satu di tunas rasa kami.
Jadi,kami lepak di pantai sehingga malam. Santai-santai sambil menikmati udara malam pantai. Kami juga bermain sedikit permainan sebagai hiburan serta saling bertukar cerita mengenai pengalaman masing-masing. Suasana yang agak harmonik dan menenangkan jiwa. Sesuai dengan aktiviti kami sepanjang berada di Pulau Pinang, bercuti.
11.00mlm-Walaupun setelah ber'BBQ' namun perut menjadi kosong kembali. Jadi kami mengambil keputusan untuk mengisi kembali kekosongan itu. Setelah mengemas sisa-sisa berkelah kami di Pantai Batu Ferringgi, kami menuju ke stesen minyak terdekat untuk membersihkan diri dari air masin pantai. Destinasi kami seterusnya adalah antara tempat lepak popular di kalangan pelajar USM (sumber: dakwaan kawan kami) Nasi Lemak Liverpool. Walaupun kami bukan peminat kelab bola Inggeris itu, namun kami ingin mencuba makanan di tempat lepak yang popular itu.
Berselfie di Restoran Nasi Lemak Liverpool |
Restoran Nasi Lemak Liverpool |
1.00pg-Setelah selesai menikmati hidangan lewat malam, kami pulang ke tempat penginapan masing-masing. Hari terakhir kami yang memenatkan namun berisi dengan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Jadi perbelanjaan untuk hari ini:
RM4.50-Makan tengah hari
RM35-Belanja untuk BBQ
RM5.00-Makan lewat malam
==>RM44.50
Total=Hari Pertama+Hari Kedua+Hari Ketiga=RM145.50+RM44.50
=RM200
8 Feb 15
11.00pg-Seperti kemalrin, kami bertolak dari tempat penginapan kami, asrama Kompleks Belia dan Sukan Pulau Pinang setelah mengemas bilik dan barang-barang peribadi kami. Sebelum bertolak pulang, kami singgah di medan selera untuk menikmati makan tengah hari. Jumlah bayaran yang dikenakan adalah RM7 untuk minuman, nasi putih, ayam goreng dan sayur. Di medan selera itu juga kami beli sedikit jeruk sebagai ole-ole kepada keluarga kami di rumah.
1.30ptg-Setelah selesai solat dan mengisi petrol sebanyak RM45, kami bergerak pulang melalui jambatan baru iaitu Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Jambatan ini lebih panjang berbanding jambatan lama. Pemandangan dari jambatan ini juga cantik melihatkan separuh Pulau Pinang, juga dikenali sebagai Pulau Mutiara.
5.00ptg-Tol sebanyak RM41.50 dikenakan dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ke Tol Jalan Duta. Akhirnya, saya tiba di rumah dan berakhirlah Trip Bajet Penang.
Total=Hari Pertama+Hari Kedua+Hari Ketiga+Hari Keempat=RM200+(RM45+RM41.50)/3
=RM229
Jumlah keseluruhan dari rumah ke Pulau Pinang dan kembali ke rumah dengan perbelanjaan sebanyak RM229. Jadi satu jumlah yang agak menjimatkan bagi percutian selama 4 hari 5 malam di Pulau Pinang. Namun, jumlah ini masih terdapat beberapa pengecualian kecil perbelanjaan seperti pembelian air minuman, makanan ringan dan buah tangan. Jadi secara mudah, RM250 cukup untuk satu percutian yang bajet tapi tetap unggul dan memuaskan.
Secara ringkasnya, anda boleh menikmati video dibawah. Ia merupakan ringkasan kepada aktiviti percutian kami. Semoga terhibur.
Nantikan aktiviti atau trip yang seterusnya dikemaskini di blog ini. Jika ada sebarang cadangan atau komen, boleh komen di ruangan yang telah disediakan. Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment