Thursday 6 August 2015

Air Terjun Berkelah (Trip Satu Hari)

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kali ini, saya ingin berkongsi aktiviti keluar satu hari yang menenangkan serta merehatkan minda walaupun meletihkan fizikal. Menjadi sebahagian daripada alam semulajadi sememangnya mampu memberi perspektif yang berbeza kepada diri. Jadi, saya bersama 4 orang sahabat mengembara dan mandi di Air Terjun Berkelah. Apa itu Air Terjun Berkelah? Apa yang istimewa mengenai air terjun ini?

Terletak di Gambang, Pahang Darul Makmur, Air Terjun Berkelah terletak 30-40 minit perjalanan dari bandar Kuantan dan hanya 10-15 minit dari Exit Tol Gambang bagi Lebuhraya Pantai Timur. Antara tarikan pelancongan yang dekat dengan Air Terjun Berkelah adalah Bukit Gambang Waterpark. Air terjun ini juga mempunyai 7 tingkat air terjun dan memerlukan kekuatan fizikal yang agak lasak bagi sesiapa yang ingin mengunjungi air terjun ini kerana treknya yang sukar dan lasak. Namun, bagi sesiapa yang tidak mempunyai stamina yang tinggi, anda boleh mengunjungi tingkat 1. Air terjun ini merupakan salah satu lokasi riadah popular di kalangan masyarakat setempat mahupun penggemar aktiviti lasak.

Air Terjun Berkelah:
Tahap stamina : 7/10
Keindahan pemandangan : 8/10
Air terjun tertinggi : 50 meter
Waktu perjalanan ke tingkat 7 : 1 jam 1/2 - 2 jam

9 Jun 2015
9.30pg- Bertolak daripada Pekan, Pahang.
10.00pg- Singgah di KFC Taman Tas untuk membeli makanan untuk makan tengah hari. Jangan kata abang tak payung! Haha.
10.30pg- Singgah di Restoran Zaman berhadapan dengan kem TUDM Batu 10 . Restoran ini sememangnya antara restoran yang wajib disinggah bagi sesiapa yang melalui kem ini. Rasa roti canainya memang lembut bersama kuah kari bercampur dhal yang pekat dan sedap! Nasi dagang juga antara tarikan utama kedai ini. Kalau boleh, anda mesti mencuba semua makanan yang disediakan di restoran ini kerana semua sedap. Alamat kedai ini:

Restoran Zaman
Lot 1-3811, KM14 Jalan Gambang, Kuantan, 26070, Kuantan, Pahang
11.00pg- Bertolak dari Restoran Zaman menuju ke Air Terjun Berkelah.
11.30pg- Tiba di Air Terjun Berkelah. Kereta diletakkan di tempat lapang di sebelah Sungai Berkelah.
Tiba di tempat letak kereta Air Terjun Berkelah
Untuk pengetahuan semua, anda tidak boleh menggunakan kereta untuk terus ke Air Terjun Berkelah kerana jambatan Sungai Berkelah untuk ke lokasi telah rosak. Oleh sebab itu, jika anda menggunakan kereta pacuan empat roda, anda boleh menyeberangi sungai dengan kereta. Ini kerana kedalaman Sungai Berkelah yang perlu diseberangi  hanya paras betis sehingga lutut. Tambahan maklumat, anda juga perlu melalui jalan tanah merah sejauh 2-3km sebelum tiba di tempat lapang ini. Jadi, anda perlu memandu kereta di tanah merah dengan hanya 20-30km/j kerana kondisi jalan yang tidak rata.
11.40pg- Memulakan perjalanan dengan berjalan kaki. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk tiba di Taman Hutan Simpan Berkelah.
Terasa kesejukan air sungai
Meneruskan perjalanan di atas jalan bertar
Permulaan perjalanan ke Air Terjun Berkelah
Selamat Datang Ke Hutan Lipur Berkelah
11.50pg- Tiba di Taman Hutan Lipur Berkelah. Meneruskan perjalanan ke air terjun tingkat 1.
Trek Bersimen

Permandangan sungai kering
Trek Denai
Pemandangan pondok rehat Tingkat 1
12.00tgh- Tiba di tingkat 1. Air terjun berketinggian lebih kurang 15m mempunyai pemandangan yang tersergam serta angin sejuk air terjun. 
Berlatarkan air terjun tingkat 1
Perjalanan diteruskan lagi ke tingkat-tingkat yang seterusnya. Trek jalan berubah kepada geografi yang lebih mencabar dan tidak sekata. Trek juga semakin licin dari perjalanan lebih perlahan serta berhati-hati. Terdapat juga kawasan yang curam dan merbahaya namun dengan risiko dapat dikurangkan dengan memakai alas kaki bersesuaian serta bergerak dalam kumpulan.
Pemandangan pondok rehat tingkat 1 dari atas
Berlatarkan Tingkat 2
Air Terjun Berkelah Tngkat 2
Tingkat 3
Perjalanan diteruskan
Berposing sebentar
Pemandangan tapak kemah dari atas
Berlatarkan tingkat 4
Tingkat 5
Trek berbatu dan pemandangan yang luas
Berlatarkan trek berbatu
Air Terjun Berkelah Tingkat 7

Berlatarkan Air Terjun Berkelah Tingkat 7

1.30ptg- Akhirnya, kami tiba di Air Terjun Berkelah Tingkat 7. Satu ungkapan untuk menggambarkan perasaan kami, "Subhanallah", Maha Suci Engkau yang menciptakan alam ini dengan penuh kenikmatan kepada mata serta agungnya ciptaan-Mu. Air terjun yang berketinggian 50m sememangnya cukup unik dan segala penat lelah terasa berbaloi. Angin yang meniup hasil dari pergerakan air terjun menghilangkan peluh serta memulihkan stamina kami. Tiba masa untuk mandi! 
Airnya memang dalam. Kepada sesiapa yang tidak pandai berenang atau 50/50, anda tidak digalakkan sama sekali untuk mandi di sini. Kolamnya luas dan airnya juga sejuk. Satu kepuasan setelah menempuh satu jam setengah perjalanan kaki. Setelah puas mandi, tiba masa untuk makan tengah hari. : D
Di gigi air tingkat 7
"Jangan Kata Abang Tak Payung"-anonymous
Mengisi kembali tenaga
Sekeping gambar sebelum pulang
2.30ptg- Setelah satu jam berada di tingkat 7, tiba masa untuk pulang. Namun, kami merancang untuk singgah di tingkat 5 terlebih dahulu sebelum terus pulang ke kediaman masing-masing. Tingkat 7 memang cantik dan nyaman namun tingkat 5 lebih seronok untuk bermandi-manda. Ini kerana, tingkat 5 merupakan kawasan berpasir dan mempunyai kedalaman yang berkontur. Sesuai untuk sesiapa yang kurang pandai berenang mahupun bersantai-santai.
Masa untuk pulang
Solat Zohor dilakukan di dalam perjalanan di antara tingkat 7 dan tingkat 5. Ini merupakan pengalaman baru kali majoriti kalangan kami kerana biasanya solat dilakukan dalam keadaan selesa. Solat di tengah-tengah alam semulajadi, bersejadahkan batu air terjun dan berwudukan air dingin sememangnya satu pengalaman yang unik dan kebiasaan bagi sesiapa yang mengunjungi air terjun ini sehingga ke tingkat 7.
Persiapkan diri untuk bersolat
Mengambil wuduk
Perjalanan diteruskan
Singgah di tingkat 5
Selesai mandi dan masa untuk pulang
6.00ptg- Kami tiba di tempat letak kereta dan menunaikan solat Asar serta melakukan kemasan diri di masjid berhampiran dengan Air Terjun Berkelah. 

Itulah sinopsis trip satu hari di Berkelah. Berkelah merupakan destinasi riadah kepada penggemar aktiviti lasak dan peminat alam sekitar terutamanya kepada pelajar pengajian tinggi di sekitar Kuantan dan Pekan. Saya sendiri sudah beberapa kali ke sana, dan di bawah merupakan antara koleksi gambar trip yang lain.

Ini dia video ringkasan trip satu hari ini. Semoga terhibur:


Saturday 6 June 2015

Trip Bajet Penang (Bahagian 3)

Assamualaikum dan salam sejahtera,

Akhirnya sudah sampai bahagian terakhir untuk trip bajet Penang kita. Terima kasih kepada anda yang meluangkan masa untuk mengikuti kisah kami. Sebulan lambat daripada kemas kini blog Trip Bajet Penang (Bahagian 2). Saya minta maaf kepada semua pembaca yang mengikuti blog saya kerana saya sibuk dengan hal-hal akademik. Diharap anda terhibur dengan kisah kali ini.

Dan kepada sesiapa yang baru kepada kisah Trip Bajet Penang ini, anda boleh mengikuti bahagian satu dan bahagian dua.

Seperti biasa kita ulang kembali bajet yang telah diperbelanjakan setakat ini:
Total hari pertama=RM58+RM48=RM106
Total hari kedua=RM39.50
Hari pertama+Hari kedua=RM106+RM39.50=RM145.50

7 Feb 2015
11.00pg-Pagi ini memang bermula lewat memandangkan semalam kami pulang ke tempat menginap agak lewat. Oleh kerana sudah hampir tengah hari, kami mulakan hari kami dengan makan tengah hari di Taman Tun Sardon. Niat asal sebenarnya untuk bersarapan namun terpaksa dibatalkan kerana masa yang sudah hampir memasuki tengah hari. RM4.50 dibelanjakan untuk makan tengah hari.

12.00tgh-Pergerakkan ke Taman Botani. Taman Botani terletak berhampiran dengan Bukit Bendera. Untuk maklumat lanjut, anda boleh mengunjungi laman sesawang rasmi Taman Botani Pulau Pinang. 

12.30tgh-Kami tiba di Taman Botani. Pada mulanya, kelihatan pemandangan yang agak hambar. Namun, ia tidak seperti yang kami sangkakan, seperti yang ditunjukkan di laman sesawang atau enjin carian. Usaha mencari Taman Botani dan ianya terjawab. Maka, kami tiba di sebuah taman yang cantik dihiasi tamanan yang berbunga dan dijaga rapi.
Taman Botani Pulau Pinang

Air Pancut

Pintu Gerbang Taman Botani
Pintu Gerbang Buluh
Pemandangan mikro
Pintu Gerbang 2
Trek Taman Botani
Berehat sebentar di Taman Botani
Pokok Bunga Kertas
Tiada bayaran dikenakan kepada penjungung yang berminat untuk mengunjungi Taman Botani Pulau Pinang. Satu destinasi yang menarik untuk dilawati oleh pelancong tempatan mahupun luar negeri terutama kepada peminat seni lanskap. Secara ringkasnya, taman ini dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti Lanskap Jepun, Eropah dan Tempatan. Walaupun cuaca agak kering dan panas serta kelihatan beberapa pokok kekurangan air, namun penjagaan tanaman oleh pekerja taman harus dipuji.

1.30ptg-Kami bertolak dari Taman Botani untuk mengambil kawan kami dari tempat kerja beliau. Kenapa? Sebab beliau merupakan salah seorang perancang utama dalam aktiviti kami petang ini. Aktiviti apa? Berkelah di Pantai Batu Ferringgi. Jadi kami menuju ke Mydin berdekatan, Mydin Kompleks Bukit Jambul untuk beli barang-barang keperluan untuk BBQ. Antara barang yang dibeli:

1)Pembalut aluminium
2)Sos cili
3)Mayonis
4)Ubi keledek
5)Sosej
6)Air berkarbonat
7)Sedikit Serai
8)Lain-lain

Oleh kerana di Mydin tiada ayam yang siap diperap, maka kami terpaksa mengubah rancangan. Kami  perlu singgah di Carrefour untuk membeli makanan mentah untuk dipanggang. Jumlah total bagi barang keperluan yang dibeli di Mydin adalah RM50*. Kami menggunakan arang yang dibawa oleh kami sendiri dari Selangor. Jadi untuk BBQ kali ini, arang sebanyak 1 bag atau 1.5kg memadai untuk memanggang makanan bagi 7 orang. Pemanggang juga kami datangkan khas dari Selangor.

2.30ptg-Selesai membeli di Mydin. Jadi kami menuju ke USM untuk mengambil kawan kami yang lain. Sambil menunggu mereka bersiap, kami menunaikan solat di sana. Setelah mereka bersiap, bersama barang-barang keperluan lain untuk berkelah seperti pinggan, cawan, air kosong/air minuman, dan lain-lain, kami bergerak ke Carrefour. Pelbagai aneka makanan mentah yang diperap siap untuk aktiviti seperti BBQ terdapat di Carrefour Tanjung Tokong seperti ayam diperap madu, ayam perap masala pedas, daging perap dan lain-lain. Jadi, kami membeli 2kg ayam perap madu dan 1kg ayam perap pedas. Kami juga membeli kambing perap sebanyak 1kg. Jadi jumlah perbelanjaan untuk makanan mentah:

1)Ayam Perap=RM10/kgX3=RM30
2)Kambing Perap=RM30/kg=RM30
Total=RM60*.
p/s: Jumlah * merupakan jumlah yang digenapkan untuk permudahkan pengiraan

RM50+RM60=RM110/3person=RM35/person*

6.00ptg-Kami tiba di Pantai Batu Feringgi. Suasana agak meriah memandangkan hari ini merupakan hari minggu. Ramai pengunjung luar negara mahupun tempatan berseronok di tepi pantai. Kami memasang kemah di tepi pantai bagi memudahkan urusan menukar pakaian ataupun beristirehat. Setelah persiapan selesai, maka kami menikmati petang kami di Pantai Batu Ferringgi.

Kemah kami
Bermain di gigi air
Berjalan-jalan di pantai
Tukang Panggang bertauliah
Mandi di Batu Ferringgi
Pemandangan Pantai
'We are at the beach'
 
Aktiviti Water Parachute di Pantai Batu Ferringgi

Kepada sesiapa yang minat akan sukan air, di Pantai Batu Ferringgi juga menyediakan perkhidmatan sukan air seperti sewa 'jet ski', 'banana boat', 'doughnut boat', 'water parachute', dan lain-lain. Perkhidmatan yang disediakan agak tinggi kerana kami mengekalkan tema percutian kami, bajet tapi seronok. Namun, kepada sesiapa yang berminat untuk mencuba sesuatu yang baru, water parachute merupakan aktiviti yang saya galakkan. 

Setelah penat bermain air, kami menikmati juadah yang disediakan oleh tukang masak kami. Antara makanan yang tersedia, tidak dapat dinafikan bahawa kambing panggang merupakan hidangan terbaik. Daging kambing yang empuk, manis daging jelas terasa serta rempah yang menyerap masuk ke dalam daging antara sebab kambing panggang terletak nombor satu di tunas rasa kami.

Jadi,kami lepak di pantai sehingga malam. Santai-santai sambil menikmati udara malam pantai. Kami juga bermain sedikit permainan sebagai hiburan serta saling bertukar cerita mengenai pengalaman masing-masing. Suasana yang agak harmonik dan menenangkan jiwa. Sesuai dengan aktiviti kami sepanjang berada di Pulau Pinang, bercuti.

11.00mlm-Walaupun setelah ber'BBQ' namun perut menjadi kosong kembali. Jadi kami mengambil keputusan untuk mengisi kembali kekosongan itu. Setelah mengemas sisa-sisa berkelah kami di Pantai Batu Ferringgi, kami menuju ke stesen minyak terdekat untuk membersihkan diri dari air masin pantai. Destinasi kami seterusnya adalah antara tempat lepak popular di kalangan pelajar USM (sumber: dakwaan kawan kami) Nasi Lemak Liverpool. Walaupun kami bukan peminat kelab bola Inggeris itu, namun kami ingin mencuba makanan di tempat lepak yang popular itu.

Berselfie di Restoran Nasi Lemak Liverpool
Pelbagai aneka lauk pilihan untuk dinikmati bersama nasi lemak menjadi antara tarikan utama pelanggan untuk mengunjungi restoran ini. Kepada peminat kipas-susah-mati (die hard fan) kelab Liverpool, restoran ini merupakan antara restoran yang wajib anda kunjungi terutamanya jika anda berada di Pulau Pinang. Ini kerana hiasan dalamannya dipenuhi dengan produk-produk serta poster-poster pemain The Red. Restoran ini terletak di Jelutong serta berhampiran dengan USM. 

Restoran Nasi Lemak Liverpool
Harga makanan di sini juga berpatutan. Sepinggan Char-Kuew-Teow bersama teh ais hanya RM5.00. Kenapa Char-Kuew-Teow dan bukan nasi lemak? Kerana saya masih kekenyangan dari aktiviti ber'BBQ' petang tadi. Manakala kekawan yang menikmati nasi lemak dicaj RM4-RM6.50 tidak termasuk minuman bergantung kepada lauk yang dinikmati.

1.00pg-Setelah selesai menikmati hidangan lewat malam, kami pulang ke tempat penginapan masing-masing. Hari terakhir kami yang memenatkan namun berisi dengan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Jadi perbelanjaan untuk hari ini:
RM4.50-Makan tengah hari
RM35-Belanja untuk BBQ
RM5.00-Makan lewat malam
==>RM44.50

Total=Hari Pertama+Hari Kedua+Hari Ketiga=RM145.50+RM44.50
=RM200

8 Feb 15
11.00pg-Seperti kemalrin, kami bertolak dari tempat penginapan kami, asrama Kompleks Belia dan Sukan Pulau Pinang setelah mengemas bilik dan barang-barang peribadi kami. Sebelum bertolak pulang, kami singgah di medan selera untuk menikmati makan tengah hari. Jumlah bayaran yang dikenakan adalah RM7 untuk minuman, nasi putih, ayam goreng dan sayur. Di medan selera itu juga kami beli sedikit jeruk sebagai ole-ole kepada keluarga kami di rumah.

1.30ptg-Setelah selesai solat dan mengisi petrol sebanyak RM45, kami bergerak pulang melalui jambatan baru iaitu Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Jambatan ini lebih panjang berbanding jambatan lama. Pemandangan dari jambatan ini juga cantik melihatkan separuh Pulau Pinang, juga dikenali sebagai Pulau Mutiara. 

5.00ptg-Tol sebanyak RM41.50 dikenakan dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ke Tol Jalan Duta. Akhirnya, saya tiba di rumah dan berakhirlah Trip Bajet Penang.

Total=Hari Pertama+Hari Kedua+Hari Ketiga+Hari Keempat=RM200+(RM45+RM41.50)/3
=RM229

Jumlah keseluruhan dari rumah ke Pulau Pinang dan kembali ke rumah dengan perbelanjaan sebanyak RM229. Jadi satu jumlah yang agak menjimatkan bagi percutian selama 4 hari 5 malam di Pulau Pinang. Namun, jumlah ini masih terdapat beberapa pengecualian kecil perbelanjaan seperti pembelian air minuman, makanan ringan dan buah tangan. Jadi secara mudah, RM250 cukup untuk satu percutian yang bajet tapi tetap unggul dan memuaskan.

Secara ringkasnya, anda boleh menikmati video dibawah. Ia merupakan ringkasan kepada aktiviti percutian kami. Semoga terhibur.


Nantikan aktiviti atau trip yang seterusnya dikemaskini di blog ini. Jika ada sebarang cadangan atau komen, boleh komen di ruangan yang telah disediakan. Sekian, terima kasih.